sime darby property bangun dua hab logistik gred a di bandar bukit raja

KLANG: Sime Darby Property Bhd bersama rakan usaha samanya, ESR, memperluaskan E-Metro Logistics Park di Bandar Bukit Raja menerusi pembinaan dua kemudahan logistik Gred A baharu yang bakal menambah lebih 2.2 juta kaki persegi ruang gudang moden.

Pengarah Urusan Pembangunan Hartanah Sime Darby Property, Datuk Mohd Sohimin Mohd Alayedin, berkata projek itu membabitkan penyiapan Metrohub 4 serta permulaan pembinaan Metrohub 3, sekali gus mengukuhkan E-Metro Logistics Park sebagai hab logistik dan perindustrian utama negara.

Beliau berkata, pembangunan itu memanfaatkan lokasi strategik berhampiran Pelabuhan Klang serta rangkaian lebuh raya utama di Lembah Klang, selain memenuhi permintaan berterusan terhadap kemudahan logistik moden di Selangor.

"Permintaan kekal kukuh selepas Metrohub 1 dan Metrohub 2 mencapai kadar penghunian 100 peratus oleh syarikat dalam sektor e-dagang, logistik pihak ketiga dan rantaian bekalan.

"Metrohub 4 yang berkeluasan kira-kira 1.38 juta kaki persegi merupakan gudang siap bina pelbagai penyewa terbesar dalam portfolio Metrohub," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pembukaan Metrohub 4 dan pecah tanah Metrohub 3, yang turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian penyewaan antara SDPLOG (syarikat usaha sama antara Sime Darby Property Bhd dan LOGOS SE Asia Pte Ltd) dan Mixue Malaysia bagi penyewaan ruang di Metrohub 4.

Majlis turut disaksikan Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Mohd Zary Affendi Mohd Arif.

Mohd Sohimin berkata, rangkaian minuman global, MIXUE, menjadi penyewa pertama yang membuat komitmen awal di Metrohub 4 dengan menyewa 185,000 kaki persegi atau 13.4 peratus daripada keluasan boleh disewakan bersih (NLA) kemudahan berkenaan sebelum ia mula beroperasi.

Sementara itu, beliau berkata, Metrohub 3 yang dijadual siap pada suku ketiga 2027 akan menawarkan kira-kira 840,000 kaki persegi ruang gudang menerusi dua blok berasingan.

Katanya, projek itu turut merangkumi kemudahan penyimpanan barangan berbahaya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, khususnya susulan pertambahan import komponen kenderaan elektrik (EV) seperti bateri litium ke Malaysia.

"Apabila Metrohub 3 dan Metrohub 4 siap sepenuhnya, keseluruhan portfolio E-Metro Logistics Park akan melebihi 4.2 juta kaki persegi ruang gudang moden bertaraf institusi yang disasarkan kepada syarikat multinasional.

"E-Metro Logistics Park juga adalah komponen penting dalam ekosistem perindustrian jangka panjang Bandar Bukit Raja yang turut disokong dana pembangunan perindustrian patuh syariah bernilai RM1 bilion," katanya.

Kedua-dua Metrohub 3 dan Metrohub 4 disasarkan memperoleh pensijilan LEED Gold serta dilengkapi pelbagai ciri mampan termasuk sistem tenaga solar, stesen pengecas EV, lampu LED, penebatan haba yang dipertingkatkan dan kelengkapan cekap air.

Selain itu, kedua-dua kemudahan turut menyediakan pelbagai kemudahan mesra pekerja seperti kafeteria, ruang rehat pemandu serta laluan trafik berasingan bagi kenderaan berat dan ringan.

logo