image 02

Klang: Stadium Hoki MBDK (Majlis Bandaraya Diraja Klang) di Kompleks Sukan Pandamaran dirasmikan hari ini, selepas selesai dinaik taraf dengan kos RM8 juta.

Ia menjadi simbol MBDK memperkukuh infrastruktur sukan bertaraf antarabangsa di Bandar Diraja Klang.

Stadium itu antara venue bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 yang akan berlangsung bulan depan.

Datuk Bandar MBDK, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, penaiktarafan itu bukan sahaja meningkatkan kualiti kemudahan sukan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat sukan, penganjuran kejohanan bertaraf tinggi dan pertumbuhan ekonomi setempat.

"Projek naik taraf stadium ini disiapkan sepenuhnya pada 1 Julai lalu dengan kos keseluruhan RM8 juta.

"Peruntukan dilaburkan ini bukanlah suatu perbelanjaan semata-mata, tetapi satu pelaburan strategik yang bakal memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan sukan dan pembangunan ekonomi tempatan.

"Kita percaya kemudahan sukan berkualiti mampu menjadi pemangkin kepada gaya hidup sihat, pembangunan belia, pengukuhan perpaduan komuniti serta menjadi platform melahirkan atlet yang mampu bersaing di pentas dunia," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Padang dan Penaiktarafan Kemudahan Fasiliti di Stadium Hoki MBDK di Kompleks Sukan Pandamaran di sini, hari ini.

Beliau berkata, lebih membanggakan stadium itu memperoleh pensijilan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) bagi tempoh tiga tahun bermula 3 Julai lalu.

Katanya, pengiktirafan itu membuktikan Stadium Hoki MBDK memenuhi piawaian antarabangsa dan bersedia menjadi venue penganjuran kejohanan hoki bertaraf dunia serta memenuhi keperluan penyiaran televisyen secara langsung.

"Selain padang sintetik jenis Poligras Platinum, papan skor elektronik serta lampu limpah berkualiti maksimum, semua kemudahan dipastikan dalam keadaan terbaik.

"Stadium ini menyediakan kapasiti 1,300 penonton serta kemudahan 160 tempat letak kereta, sekali gus menjadi pemangkin kepada Bandar Diraja Klang untuk muncul sebagai hab penganjuran sukan hoki bertaraf kebangsaan dan antarabangsa," katanya.

logo