KLANG : Stadium Hoki MBDK di Kompleks Sukan Pandamaran dirasmikan hari ini selepas selesai dinaik taraf dengan kos RM8 juta. Ia sekali gus menjadi simbol komitmen Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memperkukuh infrastruktur sukan bertaraf antarabangsa di Bandar Diraja Klang. Stadium berkenaan adalah antara venue sukan yang terbabit pada penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang akan berlangsung bulan depan. Datuk Bandar MBDK, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, penaiktarafan itu bukan sahaja meningkatkan kualiti kemudahan sukan, malah mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat sukan, penganjuran kejohanan bertaraf tinggi dan pertumbuhan ekonomi setempat. "Projek naik taraf stadium ini berjaya disiapkan sepenuhnya pada 1 Julai lalu dengan kos keseluruhan sebanyak RM 8 juta. "Peruntukan yang dilaburkan ini bukanlah suatu perbelanjaan semata-mata tetapi adalah satu pelaburan strategik yang bakal memberimanfaat jangka panjang kepada pembangunan sukan dan pembangunan ekonomi tempatan. "Kita percaya bahawa kemudahan sukan yang berkualiti mampu menjadi pemangkin kepada gaya hidup sihat, pembangunan belia, pengukuhan perpaduan komuniti serta menjadi platform melahirkan atlet yang mampu bersaing di pentas dunia," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Padang dan Penaiktarafan Kemudahan Fasiliti di Stadium Hoki MBDK di Kompleks Sukan Pandamaran di sini, hari ini. Beliau berkata, lebih membanggakan adalah stadium berkenaan memperoleh pensijilan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) bagi tempoh tiga tahun bermula 3 Julai lalu. Katanya, ia bukan sahaja menjadi satu pengiktirafan yang membanggakan buat MBDK, malah membuktikan bahawa Stadium Hoki MBDK memenuhi piawaian antarabangsa dan bersedia menjadi venue penganjuran kejohanan hoki bertaraf dunia serta memenuhi keperluan penyiaran televisyen secara langsung. "Selain padang sintetik jenis Poligras Platinum, papan skor elektronik serta lampu limpah berkualiti maksimum, kemudahan lain seperti bilik persalinan, tandas baharu, bilik VIP, serta kemudahan lain turut dipastikan dalam keadaan terbaik. "Stadium ini juga menyediakan kapasiti penonton seramai 1,300 orang serta kemudahan tempat letak kereta yang merangkumi 40 petak di bahagian dalam dan 120 petak di bahagian luar stadium. "Lebih penting lagi, pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada Bandar Diraja Klang untuk muncul sebagai hab penganjuran sukan hoki bertaraf kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, pembangunan industri pelancongan sukan serta memperkukuh imej bandar ini di persada antarabangsa," katanya. Dalam pada itu, Abd Hamid turut berharap agar kejayaan sebenar stadium terbabit bukan diukur melalui keindahan infrastrukturnya semata-mata, tetap melalui sejauh mana ia mampu melahirkan atlet berkualiti, membangunkan masyarakat yang aktif dan sihat serta menjadi medan penyatuan komuniti. "Saya berharap Stadium Hoki MBDK akan menjadi pusat pembangunan hoki yang disegani, bukan sahaja di Selangor malah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. "Lebih membanggakan, saya berharap daripada padang inilah akan lahir generasi baharu pemain hoki negara yang bakal mengharumkan nama Klang dan Malaysia di pentas dunia," katanya. |