KLANG – Kebanjiran anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, di sini didakwa hampir meragut nyawa seorang pemuda apabila koma lebih seminggu selepas motosikal yang ditunggang terbabas ketika dikejar sekumpulan haiwan itu baru-baru ini. Dalam kejadian pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi, 13 Julai lalu itu, mangsa berusia dalam lingkungan 20-an dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli makanan di sebuah kedai berhampiran. Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 40-an, berkata, mangsa dikejar kira-kira enam ekor anjing liar sejauh hampir 100 meter sebelum hilang kawalan ketika melalui bonggol lalu terjatuh menyebabkan kepalanya terhentak kuat pada permukaan jalan. “Penduduk yang berada berhampiran segera menghalau anjing-anjing tersebut sebelum memberikan bantuan kepada mangsa. “Akibat kecederaan parah di kepala, mangsa koma lebih seminggu dan terpaksa menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala di Hospital Tengku Ampuan Rahimah,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini. Menurut Ahmad, mangsa kini telah sedar daripada koma dan dipindahkan ke wad, namun masih menerima rawatan serta dipantau rapi oleh pasukan perubatan. Ahmad mendakwa masalah anjing liar di taman itu sudah berlarutan hampir dua tahun sehingga mengancam keselamatan penduduk. “Bukan mangsa seorang sahaja, saya sendiri pernah dikejar anjing. Penduduk hidup dalam kebimbangan setiap hari, terutama kanak-kanak dan warga emas yang keluar berjalan atau ke surau. “Setakat ini memang belum ada kes gigitan, tetapi insiden ini membuktikan anjing liar tetap boleh mengundang tragedi,” ujarnya. Katanya, susulan kejadian itu, beliau membuat aduan kepada Ahli Majlis Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri bagi mendesak tindakan segera diambil terhadap masalah anjing liar di kawasan tersebut. “Saya berharap operasi menangkap anjing liar dipergiatkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang dan keselamatan penduduk lebih terjamin,” katanya. Mengulas mengenai insiden kekecohan ketika operasi menangkap anjing liar sehingga menyebabkan seekor anjing mati, Ahmad mendakwa haiwan berkenaan dipercayai mempunyai pemilik, namun dibiarkan berkeliaran sehingga mengganggu keselamatan penduduk. “Kebanyakan anjing yang bertuan ditambat atau dipelihara di dalam kawasan rumah. Saya tidak tahu mengapa anjing itu dibiarkan bebas,” katanya. Terdahulu, Kosmo! melaporkan operasi menangkap anjing liar oleh MBDK di Jalan Sama Gagah 20, di sini bertukar kecoh apabila seorang individu didakwa mengugut anggota penguat kuasa menggunakan sebilah pisau selain menghalang operasi berkenaan. |