Beca mungkin bakal kembali mewarnai jalan-jalan di Bandar Diraja Klang. Kenderaan tradisional beroda tiga yang suatu ketika dahulu menjadi pemandangan biasa di bandar ini kini sedang dipertimbangkan untuk diperkenalkan semula sebagai salah satu pengalaman pelancongan di Klang. Inisiatif itu bertujuan menghubungkan pengunjung dengan warisan bandar, di samping membuka peluang baharu kepada komuniti setempat. Pengasas VolunHeritage, Shaiful Azli Muhamad Surol berkata, kerjasama dengan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Selangor itu bertujuan menghidupkan semula perkhidmatan beca sebagai produk pelancongan bernilai tinggi. Menurutnya, perancangan itu melibatkan pengenalan 10 buah beca dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM90,000. VolunHeritage merupakan inisiatif pelancongan budaya berasaskan komuniti yang terlibat dalam projek-projek pengaktifan dan penghidupan ruang awam (placemaking). Shaiful Azli berkata, usaha membawa kembali beca ke Klang bukan sahaja dapat memberi nafas baharu kepada pengangkutan klasik itu, malah membuka lembaran baharu kepada sektor pelancongan bandar. “Melalui inisiatif ini, kami mahu mengekalkan nilai dan identiti budaya beca sambil mentransformasikan pengalaman menaikinya menjadi tarikan kebudayaan yang lebih menarik. “Selain menawarkan pengalaman nostalgia menyusuri bandar, perkhidmatan beca yang dihidupkan semula ini akan memperkenalkan tapak warisan, tradisi tempatan serta kawasan bersejarah di Klang kepada pengunjung dengan cara yang lebih dekat dan interaktif,” katanya. Dengan sokongan MBDK, inisiatif tersebut dijangka melengkapi produk pelancongan sedia ada di Bandar Diraja Klang. “Ini termasuk menghidupkan semula laluan beca lama di sekitar Jambatan Kota serta kawasan yang suatu ketika dahulu menjadi pusat kegiatan masyarakat dan ekonomi Klang,” katanya. Sementara itu, anak jati Klang, NP Raman, 79, berkata beca bukan sekadar pengangkutan tradisional. Menurutnya, beca merupakan simbol kehidupan bandar lama, interaksi sosial serta memori kolektif masyarakat Klang. “Saya berharap MBDK dapat mewujudkan satu laluan beca yang menghubungkan Pasar Jawa, bahagian bawah Jambatan Kota, Masjid India Muslim Tengku Kelana, Little India Klang dan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz,” kata Raman. “Langkah ini dapat menghidupkan semula laluan bersejarah tersebut sebagai satu cara unik untuk pengunjung meneroka dan menghayati warisan Klang.” |