imej 01

SHAH ALAM, 10 SEPT - Menjelang tahun 2030, Sungai Klang bukan lagi sekadar sungai yang pulih tetapi mewujudkan kawasan ekonomi baharu meliputi sektor perniagaan, pelancongan dan rekreasi.

Mengikut Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), agensi pelaksana Zon Pembangunan Ekonomi Kawasan Gerbang Maritim Selangor (ZPE-SMG), kegiatan ekonomi berasaskan sungai membuka peluang kerja.

Katanya, penduduk setempat mendapat manfaat pembangunan Sungai Klang termasuk aspek perumahan lebih baik, ruang awam berkualiti, peluang keusahawanan dan mutu kehidupan meningkat.

“Kejayaan sebenar ialah apabila kita berjaya membuktikan bahawa pemulihan alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi boleh bergerak seiring, sungai dipulihkan, ekonomi berkembang dan rakyat mendapat manfaat,” kata LLSB dalam jawapan bertulis kepada Media Selangor.

LLSB menyatakan pembangunan ZPE-SMG itu akan membuka ruang kepada sektor perniagaan baharu meliputi pelancongan, makanan dan minuman, perkhidmatan bot, rekreasi dan keusahawanan.

Agensi itu juga mahu memastikan pembangunan di sepanjang sungai menghasilkan ruang awam lebih berkualiti, kawasan rekreasi, kemudahan komuniti dan pilihan perumahan yang lebih baik.

“Dari sudut alam sekitar, setiap pembangunan perlu bergerak seiring dengan pemulihan ekosistem Sungai Klang,” kata LLSB lagi.

LLSB juga melihat Taman Rekreasi Mangrove Point sebagai aset alam sekitar yang berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan dan pendidikan alam sekitar.

Mereka meneroka elemen ‘edutainment’ (didik hibur) supaya mesej pemuliharaan alam sekitar disampaikan dengan lebih kreatif dan interaktif melalui kerjasama strategik dengan KRU Entertainment Sdn Bhd.

Mangrove Point akan menambah baik kemudahan sedia ada selain memperkenal pengalaman baharu termasuk elemen animatronik, pertunjukan cahaya dan kegiatan berasaskan sungai dan air.

“Pembangunan ini turut berpotensi membuka peluang ekonomi baharu dan menjana manfaat kepada komuniti setempat melalui aktiviti rekreasi, pelancongan dan ekopelancongan,” kata LLSB.

Kerja menaik taraf Mangrove Point fasa dua dianggar RM7.1 juta merangkumi pertambahan prasarana utama, infrastruktur dalaman dan tarikan baharu ekopelancongan dan didik hibur.

Kerja naik taraf sedang dibuat secara berperingkat dan dijadual siap pada suku keempat tahun ini manakala operasi secara lebih menyeluruh dijangka dilaksanakan pada suku kedua 2027.

Bagi pembangunan Kampung Fajar pula, LLSB akan memberi nafas baharu kepada kawasan penempatan termasuk meningkatkan taraf hidup dan memperkasa peneroka bandar melalui perumahan moden.

Pembangunan semula akan menangani isu penempatan tidak terancang dan meningkatkan kualiti persekitaran yang disepadu dengan projek tebatan banjir dan pengindahan semula Sungai Klang.

“Supaya manfaatnya bukan sahaja dirasai dari aspek perumahan tetapi turut menyumbang kepada persekitaran sungai lebih baik dan komuniti yang lebih berdaya tahan terhadap risiko banjir,” katanya.

LLSB mahu memastikan pembangunan di sepanjang Sungai Klang itu memberi manfaat, bukan sekadar secara fizikal tetapi mewujudkan penempatan lebih teratur dan persekitaran lebih selamat.

Berdasarkan perancangan, Kerajaan Negeri memperuntuk kira-kira RM60 juta bagi menjayakan membangunkan projek perumahan tersebut sekali gus menyelesaikan isu penempatan setinggan.

LLSB menjelaskan proses perancangan dimulakan pada 2025 termasuk menyediakan perancangan pembangunan dan penyusunan semula struktur penempatan.

“Kerja-kerja pembangunan fizikal disasarkan untuk bermula pada Januari 2027, tertakluk kepada proses kelulusan, pemuktamadan reka bentuk serta pelantikan rakan pembangunan,” katanya.

LLSB juga menyifatkan projek ZPE-SMG dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2) sebagai signifikan kerana agenda pemulihan Sungai Klang dilihat bukan semata-mata dari perspektif alam sekitar.

ZPE-SMG menggunakan pendekatan yang menghubungkan usaha pemulihan sungai dengan pembangunan ekonomi secara bertanggungjawab lantaran sungai antara aset strategik yang berpotensi besar.

“Ertinya LLSB tidak mahu pembangunan berlaku dengan mengorbankan alam sekitar tetapi sebaliknya memastikan sungai yang lebih sihat menjadi asas kepada pembangunan yang lebih mampan,” kata agensi itu.

 

grafik
logo