SHAH ALAM, 19 SEPT: Selangor memantau prestasi semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat memenuhi sistem penarafan baharu ditetapkan peringkat pusat.
EXCO Kerajaan Tempatan Datuk Ng Suee Lim berkata sistem penarafan berdasarkan ‘lampu isyarat’ oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dijangka memberi impak terhadap semua negeri.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim (tengah) bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Datin Paduka Noraini Roslan menyampaikan Anugerah Komuniti Cegah Denggi ketika Majlis Anugerah Komuniti Mampan MPK 2023 di KSL Esplanade Hotel, Klang pada 20 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
“Kita menyambut baik hasrat KPKT untuk perkenal sistem penarafan ‘lampu isyarat’ ini. Di Selangor, kita menggunakan sistem petunjuk prestasi utama (KPI) untuk menilai prestasi 12 PBT.
“Selepas ini kita akan pantau secara dekat operasi perkhidmatan setiap PBT kerana prestasi mereka turut melibatkan imej Kerajaan Negeri,” katanya kepada Selangorkini, hari ini.
Suee Lim menambah, sistem penarafan ‘lampu isyarat’ diyakini dapat mewujudkan persaingan sihat antara PBT sekali gus meningkatkan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Malah, katanya, rakyat di seluruh negara juga berupaya memantau prestasi PBT di kawasan masing-masing dengan lebih mudah susulan penyelarasan yang ditetapkan kerajaan.
“Sistem lampu isyarat ini membantu penduduk untuk memantau PBT khususnya di Selangor dan mereka juga akan menjalankan tugas dengan lebih cekap dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya.
Isnin lalu, Menteri KPKT dilapor akan memperkenalkan sistem penarafan baharu berdasarkan ‘lampu isyarat’ bagi menilai prestasi semua 156 PBT di seluruh negara mulai tahun depan.
Menurut Nga Kor Ming, PBT berprestasi kerja tinggi akan dilabel sebagai lampu hijau dan layak menerima pembiayaan tambahan, lampu kuning diberi amaran dengan peruntukan tertakluk kepada semakan.
Bagi kategori lampu merah mungkin menghadapi potongan pembiayaan dan permohonan kewangan pada masa depan mungkin ditolak.
Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini