LEMBU yang berkeliaran berdekatan kawasan perumahan  Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang hingga menimbulkan keresahan penduduk. FOTO Faiz Anuar

Klang: Pemilik haiwan ternakan yang membiarkan lembu mereka berkeliaran bebas di kawasan perumahan dan jalan raya boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 termasuk kompaun dan tindakan penguatkuasaan lain.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Norfiza Mahfiz berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan awam yang berpunca daripada haiwan ternakan berkeliaran.

"Tindakan boleh diambil terhadap pemilik ternakan yang membiarkan haiwan mereka berkeliaran di bawah Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971.

"Antara tindakan termasuklah pengeluaran kompaun kepada pemilik," katanya.

Beliau berkata, walaupun tiada aktiviti penangkapan lembu rayau dilakukan setakat ini, fokus MBDK tertumpu kepada tindakan penguatkuasaan berterusan dan pemantauan rutin di kawasan yang sering menerima aduan.

Menurutnya, berdasarkan rekod MBDK, sebanyak 67 aduan diterima pada 2023, meningkat kepada 88 aduan pada 2024 manakala 35 aduan direkodkan sehingga September tahun ini.

"Bandar Botanik dan Kapar antara kawasan yang mencatatkan aduan tertinggi," katanya.

Norfiza berkata, dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya tidak terjejas, MBDK melaksanakan Operasi Tindakan Penguatkuasaan Lembu Berkeliaran sebanyak 12 kali setahun, dengan kerjasama Jabatan Penguat kuasa dan Jabatan Pelesenan MBDK.

Katanya, tiada kawasan khas ternakan disediakan setakat ini dan pemilik haiwan perlu mendapatkan permit penternakan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sebelum menjalankan aktiviti berkenaan.

Beliau turut menegaskan pemantauan berkala akan diteruskan bagi menangani aduan penduduk dan mengelakkan kejadian tidak diingini termasuk kemalangan jalan raya akibat lembu berkeliaran.

Harian Metro semalam melaporkan masalah lembu dan kerbau rayau berdekatan kawasan perumahan di sekitar Klang sejak sekian lama menimbulkan keresahan penduduk.

Selain menjejaskan kebersihan yang mana najis haiwan ternakan itu bersepah di atas jalan raya, ia turut mengundang risiko kemalangan terutama pada waktu malam terutamanya di kawasan tidak berlampu.

Penduduk mendakwa haiwan ternakan itu dibiarkan berkeliaran tanpa ikatan dan tanpa pengawasan pemilik. Malah, ada antara haiwan itu didapati merayau di tanah milik kerajaan tanpa sebarang keizinan.

Sumber: