KLANG, 8 Julai: Beberapa siri bengkel akan diteruskan bagi merangka dan memuktamadkan penggubalan undang-undang larangan plastik sekali guna di Selangor.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata ia bagi penggubalan yang lebih menyeluruh termasuk caj yang dikenakan terhadap penggunaan plastik dan penetapan hari bebas plastik.
“Mungkin pada hari tertentu pada setiap minggu kita mungkin tidak membenarkan penggunaan plastik ataupun hari biasa mungkin masih ada caj dan ada peningkatan sedikit,” katanya ditemui dalam program Kempen Bebas Plastik Siri 2 di Laman Seni Safari, di sini semalam.
Beliau berkata, penggubalan larangan itu masih dalam perbincangan dan akan melibatkan pelbagai pihak termasuk penasihat undang-undang (PUU) pihak berkuasa tempatan dan PUU Kerajaan Negeri sebelum dimuktamadkan.
Dalam pada itu, Jamaliah menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian kedua-dua siri Kempen Bebas Plastik yang dijalankan tanpa sebarang penggunaan bahan itu. Kempen sebelumnya diadakan di Pantai Bagan Lalang 24 Mei lalu.

“Yang bagus tentang kempen ini ialah penglibatan banyak agensi. Siri kedua pun tiada penggunaan plastik. Ini sekali gus dapat menjadikan kempen ini sebagai sumber inspirasi,” katanya.
Selain itu Jamaliah berkata, kempen terbabit juga menjadi platform menggalakkan penyertaan syarikat dan pengilang untuk menghasilkan lebih banyak produk mesra alam.

“Kerajaan Negeri juga menyeru kepada semua pihak berkuasa tempatan dan juga agensi kerajaan supaya kita mulakan budaya ini terlebih dahulu.
“Selangor mahu dapatkan informasi tentang syarikat yang boleh bekalkan produk mesra alam ini dan ada kreativiti hingga boleh menjadikan ia trend kepada anak muda,” katanya.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Kempen Bebas Plastik Siri 2 melibatkan peserta terdiri daripada agensi kerajaan, PBT serta komuniti setempat.
Turut hadir Datuk Bandar Klang, Dato’ Abd Hamid Hussain dan Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San.
Program turut dimeriahkan dengan aktiviti senamrobik, acara larian, pertandingan mewarna, pertandingan replika kitar semula, pameran inovasi kitar semula, persembahan silat dan tarian serta cabutan bertuah.


