KLANG, 19 DIS: Agenda kelestarian bandar terus diberi keutamaan apabila Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menganjurkan Majlis Anugerah Komuniti Mampan MBDK 2025 bagi mengiktiraf sumbangan komuniti, agensi dan sektor swasta dalam pembangunan bandar raya itu.

Datuk Bandarnya, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata penganjuran majlis tahunan itu mencerminkan komitmen pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dalam mengimbangi pembangunan sosial, ekonomi dan alam sekitar selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Kelestarian tidak boleh digalas oleh PBT semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan komuniti, agensi kerajaan, institusi pendidikan serta sektor swasta sebagai rakan strategik,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut di sini, semalam.

Menurut beliau, Klang kini berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan perbandaran, perubahan iklim, risiko banjir, pembangunan industri serta peningkatan sisa pepejal, yang memerlukan penglibatan semua pihak secara bersepadu.

Seiring dengan usaha itu, Abd Hamid berkata MBDK turut mengambil kesempatan melancarkan program Sahabat Sungai sebagai pendekatan inklusif bagi melibatkan komuniti dalam usaha pemuliharaan sungai serta pengurangan risiko banjir di Klang.

Pada majlis berkenaan, sebanyak tiga kategori utama dipertandingkan melibatkan 38 penerima, iaitu Rakan Strategik SDG menerusi inisiatif Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC2030C) dengan 19 penerima, Rakan Strategik SDG Cintai Sungai Klang (tiga penerima) serta Kebuniti Bangunan MBDK (16 penerima).

Majlis tersebut sekali gus membuktikan komitmen MBDK untuk terus memperkasa tadbir urus bandar yang mampan dan responsif, dengan menjadikan kerjasama komuniti sebagai tunjang pembangunan Klang pada masa hadapan.

Sumber: