KLANG, 6 MEI: Lebih 300 kolam tadahan di Selangor dikenal pasti tidak bertuan sekali gus menyukarkan kerja baik pulih dan penyelenggaraan dilaksana.
EXCO infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim memaklumkan pihaknya kini sedang mempergiat untuk mengambil alih semua kolam berkenaan secara berperingkat.

“Untuk keseluruhan kita ada 600 kolam tadahan yang mana lebih 100 dikendali Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan selebihnya tidak bertuan.
“Setakat ini, sebanyak 55 kolam tadahan telah berjaya diambil alih secara berperingkat oleh JPS antaranya di Botanic dan Bandar Puteri. Selain itu, selebihnya adalah pihak ketiga iaitu syarikat dahulu yang tidak serahkannya (kolam tadahan).
“Kolam tadahan tidak bertuan ini isu besar tetapi Kerajaan Negeri tidak boleh masuk sesuka hati kerana boleh berdepan tindakan undang-undang. Namun, kita akan ambik alih secara berperingkat mengikut proses yang betul,” katanya.
Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat membincangkan kemajuan infrastruktur bagi kawasan seliaan MBDK yang turut dihadiri Datuk Bandarnya Dato’ Abd Hamid Hussain, semalam.
Mengulas lanjut, Izham memaklumkan mesyuarat melibatkan pelbagai agensi itu akan diadakan di beberapa pihak berkuasa tempatan bagi membincang pelaksanaan projek mitigasi banjir.
“Menerusi mesyuarat ini, kita akan putuskan langkah-langkah bersepadu yang boleh diambil secara efektif dalam tangani isu banjir dan infrastruktur.
“Selepas ini kita akan mesyuarat dengan Majlis Bandaraya Shah Alam kemudian Majlis Bandaraya Subang Jaya, pentadbiran yang mana kawasan mereka kritikal berdepan banjir,” katanya.
Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini