KLANG – Pembangunan semula Bandar Baru Klang bakal menerima suntikan baharu apabila pelajar antarabangsa diberi peluang berkongsi idea dan pengalaman mereka dalam bidang perancangan serta reka bentuk bandar.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain berkata, kehadiran pelajar luar negara mampu memperkayakan konsep pembangunan dengan pendekatan berbeza yang pernah dilaksanakan di negara masing-masing.

"Mungkin pelajar dari luar negara ini mempunyai pengalaman dan idea pembangunan bandar di tempat mereka yang boleh diterapkan di sini khususnya di Bandar Baru Klang.

"Kita mahu lihat hasil gabungan idea pelajar tempatan dan antarabangsa menghasilkan konsep pembangunan yang praktikal, lestari dan sesuai dengan keperluan masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Kumpulan Acmar di sini pada Isnin.

Abd Hamid berkata, Bandar Baru Klang berpotensi menjadi kawasan pembangunan baharu yang dinamik di bawah pentadbiran MBDK dan memerlukan pendekatan inovatif untuk menambah nilai ekonomi serta daya tarikan bandar itu.

"Kadangkala reka bentuk yang dicadangkan terlalu futuristik dan tidak sesuai dengan budaya tempatan, jadi kita harap idea daripada pelbagai latar belakang ini dapat menghasilkan pembangunan bandar yang realistik serta berdaya maju," ujar beliau.

Beliau menjelaskan, MBDK menyambut baik langkah kerjasama itu kerana ia turut memperkukuh hubungan antara sektor pendidikan dan industri dalam merancang masa depan pembangunan bandar di Klang.

Mengulas mengenai Pertandingan Reka Bentuk Antarabangsa Pelan Induk Pembangunan Bandar Baru Klang, Abd Hamid menjelaskan, inisiatif itu bukan sekadar sebuah pertandingan, tetapi merupakan platform berprestij menghimpunkan pemikir dan pereka bentuk dari lebih 100 universiti di lebih 40 negara.

"MBDK akan sentiasa menyokong inisiatif yang mampu memberi impak positif terhadap pembangunan ekonomi dan perancangan bandar di Klang.

"Kita mahu Bandar Baru Klang menjadi model bandar moden yang berfungsi dan mampan," jelas beliau.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan Acmar, Johnson Tee berkata, pihaknya sentiasa membuka peluang kepada pelajar universiti termasuk dari luar negara untuk terbabit secara langsung dalam perancangan dan pembangunan semula Bandar Baru Klang melalui projek reka bentuk bandar lebih moden dan lestari.

Jelas beliau, inisiatif itu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai aspek sebenar pembinaan, perancangan dan reka bentuk bandar.

"Kami mahu pelajar melihat sendiri bagaimana Bandar Baru Klang dibangunkan dari segi perancangan, reka bentuk hingga kepada kerja-kerja pembinaan sebenar.

"Mereka boleh datang ke tapak, belajar terus dengan kami dan memahami bagaimana sesebuah bandar moden dibentuk,” katanya.

Menurutnya, projek itu turut memberi peluang kepada pelajar bidang arkitek, kejuruteraan dan perancangan bandar untuk menghasilkan idea baharu yang boleh diterapkan dalam pembangunan bandar berkenaan.

"Kami ada lebih 80 hektar tanah di kawasan ini yang dibangunkan sejak lebih 30 tahun lalu.

"Sekarang kami mahu beri 'baju baharu’ kepada Bandar Baru Klang dan menjadikannya bandar yang lebih indah, moden dan berfungsi,” jelas beliau.

Johnson berkata, pembangunan yang dirancang bukan sekadar memberi tumpuan kepada aspek fizikal semata-mata, sebaliknya turut menekankan integrasi teknologi maklumat (IT), kecerdasan buatan (AI), infrastruktur hijau dan landskap mesra alam.

Beliau menambah, keputusan pertandingan reka bentuk bandar itu dijangka diumumkan pada Julai tahun depan selepas penilaian dibuat terhadap semua cadangan daripada peserta universiti tempatan dan antarabangsa.

Selain UTAR, katanya, Kumpulan Acmar turut bekerjasama dengan universiti lain seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang hospitaliti dan pengurusan hotel bagi memberi latihan industri di hotel milik kumpulan itu.

"Kami mahu menjadikan projek ini bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi juga platform pembelajaran sebenar bagi pelajar universiti untuk memahami dunia perancangan dan pembinaan bandar secara menyeluruh," jelas beliau.

Sumber:

Sinar Harian