KUALA SELANGOR, 6 SEPT: Selangor bersiap siaga menghadapi musim tengkujuh tahun ini, hasil pelbagai langkah penambahbaikan ekosistem pengurusan banjir yang dilaksanakan. EXCO infrastruktur berkata penambahbaikan merangkumi penyelenggaraan infrastruktur, penyediaan aset sokongan serta koordinasi bersama agensi berkaitan bagi memastikan pengurusan bencana lebih berkesan. Menurut Dato’ Ir Izham Hashim, pelaksanaan projek berkaitan banjir juga berjalan mengikut jadual dan dipantau secara berkala bagi memastikan setiap fasa dilaksanakan seperti yang dirancang. |
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim turut serta dalam Ehsan SFV Fun Run 2025 di Selangor Fruit Valley pada 6 September 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR |
“Persiapan kita macam setiap tahun cuma beza tahun ini kita sudah banyak buat penambahbaikan. Ketika saya turun ke enam PBT (pihak berkuasa tempatan) baru-baru ini, kita lihat sebahagian sudah mula dan ada yang sudah siap langkah 'quick win' atau segera menjelang monsun. “Persiapan lain termasuklah pam mudah alih, operasi pintu air dan juga yang di bawah portfolio bencana yang diterajui YB Najwan pun bersedia daripada segala segi jika berlaku krisis. “Kita buat yang terbaik daripada segi penyelenggaraan dan bersiap siaga. Daripada segi pelaksanaan projek pun ikut jadual, kita akan pantau sekarang ini secara tetap untuk pastikan ia berjalan mengikut jadual,” katanya ditemui, hari ini. |
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga kanan) dan EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim (tiga kiri) menerima Sijil pengiktirafan dari wakil Malaysia Book of Records (MBOR) Menaga Vadamalai (tengah) ketika Ehsan SFV Fun Run 2025 di Selangor Fruit Valley pada 6 September 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR |
Terdahulu, Izham bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR), yang mengiktiraf Selangor Fruit Valley (SFV) sebagai ladang buah-buahan tropika terbesar dan pusat agropelancongan terbesar negara. Izham menambah, enam PBT terlibat termasuk Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS). “Ada satu lagi yang saya akan pergi dan masa terdekat ini di Sepang. Yang lain itu ada, tapi tidak serius seperti yang enam tadi. Tapi kita kena faham bila kita turun ke PBT ini bukan bermakna PBT itu yang bermasalah tapi kawasannya. |
Sekitar Ehsan SFV Fun Run 2025 di Selangor Fruit Valley pada 6 September 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR |
“Ini melibatkan pelbagai pihak termasuk JKR, Air Selangor, JPS, KTMB dan juga IWK. Jadi semua bekerjasama untuk menyiapkan bahagian masing-masing supaya ekosistem pengurusan banjir ini dapat berjalan dengan baik,” katanya. Sebelum ini, Izham memaklumkan, sebanyak RM4 bilion diperuntuk bagi projek mitigasi mengatasi masalah banjir di Selangor. Dana itu melibatkan RM3.5 bilion daripada Kerajaan Persekutuan dan RM500 juta daripada Kerajaan Negeri. |