MBDK
Datuk Bandar Klang Datin Paduka Noraini Roslan (dua, kiri) memotong riben sebagai simbolik perasmian tangga bergerak di lobi utama Pusat Perubatan Pakar Sri Kota (SKSMC) di Jalan Mohet, Klang pada 1 Mac 2024.  Foto NASNORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

KLANG, 1 MAC: Pusat Perubatan Pakar Sri Kota (SKSMC) membina tangga bergerak bagi memudahkan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas terutama pesakit.

Datuk Bandar Klang Datin Paduka Noraini Roslan berkata kemudahan itu pilihan tepat terutama dalam situasi kecemasan, lalu lintas pesakit, petugas dan pelawat.

“Klang kini sudah berstatus sebagai bandaraya. Beberapa aspek perlu dipertingkat antaranya mewujudkan persekitaran komuniti selamat, sistem pengangkutan terbaik dan kelestarian ekonomi.

“Semua ini tidak akan berhasil tanpa ada sokongan warga Klang termasuk SKSMC yang mengorak langkah menghasilkan inovasi penjagaan kesihatan selain merintis paradigma baharu dalam menyediakan fasiliti moden seperti kemudahan tangga bergerak yang pertama di Bandaraya Diraja ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan tangga bergerak di lobi utama pusat perubatan berkenaan di sini hari ini.

Pengarah SKSMC Tan Suet Guan berkata kemudahan itu selaras visi Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) untuk memajukan bandaraya bersejarah dan meningkatkan landskap penjagaan kesihatan negara secara signifikan.

“Usaha ke arah penyediakan fasiliti moden antaranya penambahbaikan Jabatan Kecemasan 24 jam, pembukaan lebih banyak klinik pesakit luar dan peningkatan keselesaan di kafe aras tiga hospital pakar.

“Setiap penambahbaikan fasiliti direka dengan teliti untuk memastikan penyediaan kemudahan penjagaan kesihatan komuniti pantas, efektif dan keselesaan untuk pesakit serta pelawat,” katanya.

Sempena sambutan ulang tahun SKSMC, Suet Guan berkata pihaknya mengumumkan dua inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu Sunathon 2024 dan saringan kesihatan percuma untuk warga emas.

Sunathon 2024 disediakan kepada anak yatim berusia tujuh hingga 12 tahun yang akan berkhatan di bawah pengawasan Pakar Perunding Bedah Am, Dr Ahmad Muhsin.

Saringan kesihatan percuma pula ditawarkan kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas bagi mempromosi kesejahteraan dan penjagaan kesihatan golongan terbabit.

Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini